Friday, June 4, 2010

GhulaM

Haddab bin Khalid menceritakan kepada kami daripada Hammad bin Salamah

daripada Sabit bin Abdur Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa Rasulullah

SAW bersabda:


"Di zaman sebelum kamu ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir.

Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja; "Usiaku telah lanjut,

berilah kepadaku seorang ghulam (budak/ remaja) untuk aku ajarkan kepadanya

ilmu sihir." Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir

kepadanya. Di perjalanannya menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib.

Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik

dengannya. Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan

bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, dia akan dipukul. Lalu dia

mengadu perkara tersebut kepada rahib. Rahib menjawab; " Apabila kamu takut

kepada ahli sihir, maka katakanlah; Keluargaku menyebabkan aku pulang lewat.

Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah; Ahli sihir menyebabkan

aku pulang lewat." Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia

bertembung dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang

ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata; "Pada hari ini, aku akan mengetahui

adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal." Maka dia

mengambil seketul batu lalu berdoa; "Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu

sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai

dapat lalu-lalang." Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang

ramai dapat lalu lalang.


Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata,

"Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdal daripadaku. Sesungguhnya

aku melihat bahawa urusanmu telah sampai kepada satu peringkat. Kamu akan

diuji. Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku." Ghulam

tersebut mempunyai kebolehan untuk mengubati penyakit buta sejak lahir, sopak

dan dia juga mengubati berbagai lagi penyakit.


Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah

kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan

membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata; "Semua yang aku kumpulkan ini

adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku." Ghulam

menjawab; "Aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan

hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepada-

Nya, maka Dia akan menyembuhkan kamu." Lalu beliau beriman, maka Allah

menyembuhkan penyakitnya. Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau

duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya; "wahai Fulan,

siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?" Beliau menjawab;

"Tuhanku." Raja bertanya lagi; "Apakah kamu mempunyai tuhan selainku." Beliau

menjawab; "Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." Beliau terus menerus diseksa

sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa

menghadap. Raja berkata kepadanya; "Wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu

telah sampai peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan berbagai

lagi yang kamu lakukan." Ghulam menjawab; "Aku tidak boleh menyembuhkan

sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah." Maka dia pun diseksa. Dia terus

menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. Maka rahib dipanggil

lalu dikatakan kepadanya; "Tinggalkan agamamu." Rahib enggan berbuat demikian

lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah

tubuhnya terbelah dua.


Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya; "Tinggalkan

agamamu." Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya

sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan

kepadanya; "Tinggalkan agamamu." Dia enggan lalu dia diserahkan kepada

sekumpulan tentera raja. Raja berkata; "pergilah kamu semua membawanya ke

bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai ke kemuncaknya, jika dia

meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, maka

campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut.

Ghulam pun berdoa; "Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu

sukai." Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk

menemui raja. Raja berkata kepadanya; "apakah yang telah dilakukan oleh kawankawan

kamu?" ghulam pun menjawab; "Allah telah menyelamatkan aku daripada

mereka." Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata;

"pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan,

jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika

tidak,campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia

berdoa; ; "Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai." Maka

sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam. Ghulam pun pulang untuk

menemui raja. Raja berkata kepadanya; "apakah yang dilakukan oleh kawankawan

kamu?" dia menjawab; "Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka."


Kemudian dia berkata kepada raja; "Sesungguhnya kamu tidak boleh

membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh." Raja berkata;

"Apakah dia?" ghulam menjawab; "Kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan

lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak

panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah

"Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam," dan panahlah aku. Sekiranya kamu

melakukan sedemikian, kamu boleh membunuhku." Maka raja pun mengumpulkan

orang ramai di suatu kawasan lapang, menyalibnya pada sebatang pokok,

kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan

meletakkan pada busarnya. Selepas itu raja berkata; "Dengan Nama Allah, Tuhan

ghulam," sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya. Anak panah tersebut

kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan

tangannya pada tempat panahan dan meninggal. Orang ramai pun berkata; "Kami

beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman

dengan Tuhan ghulam." Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya; "Apakah

tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah

menimpa tuanku. Orang ramai telah semuanya beriman." Lalu raja memerintahkan

supaya digali parit dan dinyalakan api. Raja berkata; "Sesiapa yang tidak kembali

kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya." Mereka pun

melaksanakan perintahnya sehingga datang giliran seorang perempuan dengan

membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu

bayinya berkata; "Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas

kebenaran."


Sahih Imam Muslim.


Firman Allah;

"Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit. (Parit) api yang dipenuhi

bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Dan mereka

menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman. Dan

mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman

kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha terpuji."

(Al-Burujj : 4-8)


Note kaki : Hadis ini berkisar mengenai seorang budak dalam mempelajari akidah Islam. Contohilah budak itu. Untuk

Maklumat lanjut mengenai huraian per kata hadis ini, boleh didownload.

No comments:

Post a Comment