Monday, May 23, 2011

Ajaibnya Syahid..

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

“Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka hidup, di sisi Tuhannya mendapat rezeki.” (QS Ali Imran : 169)

1. Allahlah Yang Maha Tahu bagaimana para syuhada’ itu tetap hidup di sisiNya.

2. Allah Yang Maha Menyaksikan bagaimana para syuhada’ itu memperolehi kenikmatan hakiki dariNya.

3. Allah pula Yang Maha Berkehendak bila para syuhada’ itu diberi kesempatan untuk melihat keadaan orang-orang yang masih menunggu-nunggu, apakah benar mereka istiqamah menunggu syahid ataukah mereka menunggu-nunggu kerana mencari-cari alasan untuk meringan-ringan urusan jihad.

Ada hidup yang lebih dari sekadar hidup secara jasad.

Ada hidup yang tidak berakhir hanya kerana kematian dan hanya para syuhada’ yang mendapatkan keistimewaan ini.

Ruh jihad mereka terus hidup hingga ruh terakhir manusia di muka bumi dicabut dari jasad.

Ruh jihad mereka terus menyala di sanubari para penunggu syahid untuk menjadi saksi atas janjiNya.

Inilah kehidupan yang zaman pun mengakui maknanya.

Inilah kehidupan yang tidak difahami oleh musuh. Mereka mengira dengan memadamkan nafas seorang pejuang, maka ruh jihadnya akan terhenti.

Sungguh mengkagumkan bahwa ruh jihad itu menular lebih cepat dari satu tarikan nafas itu sendiri.

Mereka mengira bahwa ikatan persaudaraan kaum muslimin itu hanya dijalin dari satu tanah sebuah negara ke tanah sebuah negara yang lain hingga mereka berfikir bahwa ikatan persaudaraan itu akan putus bila tanah sebuah negara itu telah mereka hancurkan.

Sungguh dangkal pemahaman mereka.

Ikatan persaudaraan kaum muslimin itu sebenarnya dijalin dengan tali langit, ketika hati hanya tertuju kepadaNya.

Bila mereka hendak memutuskan ikatan ini, satu-satunya jalan yang tersedia adalah memutuskan kesatuan langit, dan cubalah mereka lakukan itu jika mereka mampu.

MUS’AB BIN UMAIR

Masih ingatkah kita dengan akhir hidup seorang pemuda yang tampan wajahnya mirip dengan wajah Rasulullah saw?

Di Makkah, dialah pemuda yang diminati. Bila ia berjalan, setiap mata pun tertuju kepada si penarik perhatian ini.

Tetapi bagaimana keadaan pemuda ini setelah dia menzahirkan ketauhidan?

Tertunduk wajah para Sahabat melihatnya. Amat berbeza antara sebelum dan sesudahnya. Dia lah Duta Islam yang pertama. Hijrah menjadi begitu bermakna melalui peranan pentingnya.

Justeru bagaimanakah akhir hayatnya ?

Pemegang Panji Islam dalam Perang Badar dan Uhud ini menunjukkan bagaimana mukmin yang amanah itu sebenarnya.

Siapakah pemuda ini?

Beliaulah Mus’ab bin Umair.

Kematian sudah menghampirinya ketika tusukan pedang musuh meminta ia melepaskan panjinya. Sambil tetap memegang panjinya, lidahnya tidak berhenti mengulang-ulang bahwa Muhammad adalah Utusan Allah dan telah berlalu sebelumnya utusan-utusan Allah.

Ketika syahid, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jasadnya. Bila bahagian kepala yang ditutup maka bahagian kaki terbuka, bila bahagian kaki yang ditutup maka bahagian kepala pula yang terbuka.

Ketika melihat jasad Mus’ab, tidak ada kalimat yang keluar dari Rasulullah saw selain :

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALLAH. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah” (QS Al Ahzab : 23)

ZAID HARITHAH, JA’FAR ABU TALIB DAN ABDULLAH RAWAHAH

Siapakah yang tidak bergetar hatinya membaca kisah gugurnya tiga pemuda panglima Islam sekaligus, Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah, hanya untuk menjaga agar panji Islam tidak jatuh hingga Rasulullah saw pun terdiam ketika mendapat khabar dari langit mengenai syahidnya orang-orang yang terdekat dan dicintainya itu ?

Menangkah musuh kerana syahidnya mereka ?

Amat jauh perbezaannya apa yang disangka dan apa yang nyata.

Justeru keangkuhan Romawi menjadi padam kerana ruh jihad mereka. Perginya mereka justeru ‘melahirkan’ seorang Khalid, sang panglima yang dikurniakan Allah untuk tidak pernah merasakan kekalahan dalam setiap peperangan yang dipimpinnya.

Terhentikah hidup mereka?

Ruh jihadnya semakin menyala di hati para pejuang penegak kalimatNya hingga akhir zaman.

ABDULLAH AZZAM

Siapakah yang melumpuhkan kekuatan Soviet Union yang menakutkan bagi mereka yang takut selain kepada Allah ?

Afghanistan pun menjadi seperti neraka bagi tentera beruang merah itu. Afghanistan menjadi bahan bukti betapa golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak iaitu hanya dua syarat :

1. Ketauhidan yang disertai dengan kesabaran.

2. Persaudaraan orang-orang beriman seumpama satu tubuh. Bila bahagian yang satu disakiti, bagaimana mungkin bahagian yang lain tidak merasakan sakit.

Syaikh Abdullah Azzam yang bergabung dalam Mujahidin Afghanistan seolah-olah mengulangi apa yang pernah terjadi dahulu ketika seorang Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah pun terjun ke medan jihad menyelamatkan Syam yang diserang oleh pasukan Tartar.

Lalu bagaimanakah keadaan Afghanistan ketika ini ?

Apakah yang diperolehi oleh musuh di sana ?

Syurgakah atau Nerakakah ?

AHMAD YAASIN

Apakah bentuk ketakutan yang wujud di benak musuh ketika mereka merancang untuk memadamkan nafas seorang Ahmad Yaasin sehingga mereka perlu menunggu waktu solat subuh berjamaah di mana cara yang digunakan itu hanya menunjukkan siapakah yang pengecut dan siapakah yang takut.

Roket tanpa kendalian manusia dari sebuah helikopter tempur yang istimewa pula perlu ditembak hanya untuk menghentikan ruh seorang Ahmad Yaasin.

Jadi, siapakah Ahmad Yassin?

Seorang tua dan boleh dikira sebagai seorang buta yang lidahnya tidak digunakan kecuali untuk berzikir.

Ia benar-benar mendefinasikan siapakah ulama’ itu sebenarnya ketika tidak ada ketakutan dalam hatinya kecuali hanya kepada Allah.

Medan jihad membebaskan tanah yang dirampas adalah rumah baginya yang hanya mampu duduk di kerusi roda ketika sisa bahagian tubuh yang mampu digerakkan hanya tinggal sedikit iaitu di bahagian kepalanya yang gerakannya tidak lebih dari sebuah isyarat.

Berhasilkah musuh menghentikan ruh jihadnya ?

Cukuplah Gaza menjadi jawabannya.

Logik apakah lagi yang mampu menjelaskan golongan yang sedikit mampu memukul golongan yang banyak?

Masihkah kita ingat akan Solat Jumaat pertama di Gaza setelah pencerobohan kaum yang pengecut itu?

Pesawat tempur musuh berlegar-legar di atas para jamaah yang menyelesaikan solat mereka. Udara bergetar menderu-menderu dek kerana dekatnya sang burung besi pemangsa dengan mereka yang hendak dijadikan mangsa.

Lalu apakah yang terjadi dengan para jamaah solat?

Sedikit pun mereka tidak berganjak dari tempat solat mereka.

Hati mereka khusyuk mengingati Allah, Penggenggam setiap nyawa. Mereka tidak menggembar-gembor untuk menakuti musuh dengan ancaman kosong melainkan dengan lidah yang hanya dipakai untuk berzikir untuk mengukuhkan ketakutan hanya kepadaNya.

Berhasilkah musuh menakuti mereka?

Yakinlah, getaran udara yang menderu-deru mengibas rambut para jamaah tersebut tidak mampu mengatasi getaran ketakutan yang merayap ke dalam hati, jantung dan seluruh tubuh pemandu pesawat tempur itu.

Oleh yang demikian, siapakah yang takut dan siapakah yang menakutkan?

RENUNGAN UNTUK DIRI KITA

a. Sungguh aneh mereka yang menyatakan ingin syahid tetapi kehidupan hariannya menunjukkan apa sebenarnya yang dicari. Cukuplah sebagai pembeza ketika orang-orang yang keadaannya lain di mulut lain di hati lebih senang bersantai daripada memenuhi janjinya. Tempat duduk mereka terlalu nyaman dibandingkan dengan perjuangan menegakkan kalimat tauhid yang kesannya adalah terhadap harta dan jiwa mereka.

b. Sungguh aneh mereka yang menyatakan ingin syahid tetapi banyaknya ketawa mereka yang hanya menjauhkan diri mereka dari apa yang dicita-citakannya.

c. Sungguh aneh mereka yang merindukan syahid tetapi tidak mempersiapkan apapun untuk kedatangan tetamu istimewa mulia itu.

d. Bagaimana mungkin tetamu istimewa berkenaan datang apabila yang dipersiapkan berbeza dari apa yang sepatutnya disediakan untuk sang tetamu tersebut. Tetamu yang ini datang membawa khabar kematian yang mulia dan membawa kehidupan sebenarnya, sedangkan apa yang dipersiapkan jelas untuk tetamu yang membawa khabar betapa indah dan nikmatnya dunia.

e. Sungguh aneh mereka yang menunggu jihad hanya bila sudah bertemu musuh di medan juang.

KESAN TERHADAP UMAT ISLAM

Tidak sedarkah mereka bahwa sekarang adalah masanya :

1. Musuh yang tidak terlihat oleh mata zahir telah merosakkan barisan mereka.

2. Akidah mereka telah disamarkan.

3. Kitab mereka telah digantikan dengan kitab-kitab lain yang mereka baca dan kaji.

4. Waktu mereka dialihkan dengan yang sia-sia dan yang telah membuatkan mereka lupa.

5. Ketakutan mereka kepada Allah telah diimbangi dengan ketakutan kepada manusia.

Adakah mereka yang merasa mampu untuk menegakkan Kalimat Allah senang dengan hanya duduk-duduk sahaja?

Adakah mereka akan meneruskan perjalanan yang dipenuhi dengan :

1. Canda tawa?

2. Kesenangan?

3. Tidur yang nyenyak?

4. Mensia-siakan waktu?

5. Harta melimpah ruah?

6. Pujian dari pencinta dunia?

Hanya mereka yang mengambil pelajaran dari seerah Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman mampu meneruskan perjalanan yang dipenuhi dengan berbagai ujian dan cobaan yang tidak jauh berbeza dari apa yang dialami oleh para pendahulu mereka.

Ketika perjuangan mereka dipenjara dan ditawan oleh orang-orang yang lupa, cukuplah kalimat dari sebenar-benar ulama’ yang dijemput oleh malaikat maut dalam penjara penguasa semata-mata untuk menegakkan jihad utama yang menjadi jawaban mereka.

“Manusia yang dipenjara adalah mereka yang terpenjara dari Rabbnya dan manusia yang tertawan adalah mereka yang ditawan oleh hawa nafsunya” (Ibnu Taimiyyah)

Ya Allah, mudahkanlah kami untuk menyusuri jalan para syuhada’ yang telah menunaikan janji mereka kepadaMu kerana sesungguhnya mereka hakikatnya hidup di sisiMu dengan memperolehi rezeki yang tidak terbatas.

Ameen Ya Rabbal Alameen

from;http://dakwah.info/bekal-dakwah/ajaibnya-mati-syahid/

Sunday, March 27, 2011

Di Mana Dia Di Hatimu? | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Di Mana Dia Di Hatimu? | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.

Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."

Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?

Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"

Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."

Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?

Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?

Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.

Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?

Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?

Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?

ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?

Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?

Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?

Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?

Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri

Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.

Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

Saturday, March 19, 2011

Siapakah Orang itu?

Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?

Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?

Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik?

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya...

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka..